Pages

Tuesday, 1 January 2013

PERUTUSAN PM SEMPENA TAHUN BARU 2013



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Isnin mengajak rakyat untuk bersama-sama beliau menanam azam tahun baru ke arah membina masa depan Malaysia yang lebih cerah.

Najib berkata jika diberi mandat yang jelas, beliau dan kerajaan pimpinannya berikrar akan menggunakan kepercayaan yang diberi dengan sebaik-baiknya dengan menepati segala janji dan komitmen yang diberi seperti yang telah dibuktikan selama ini.

"Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan anak-anak kita," katanya dalam perutusan Tahun Baru 2013 yang disiarkan melalui radio dan televisyen pada malam Isnin.

Perdana Menteri berkata, beliau dan kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat.

Najib juga berkata negara amat memerlukan sumbangan daripada rakyat dalam setiap perancangan yang dibuat di mana bagi kerajaan tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada hanyalah kesanggupan untuk melakukan sesuatu.

"Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu tercapai.

"Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan hala tuju yang jelas.

"Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak dibawa," katanya.

Menyimpulkan kesan transformasi kerajaan pada tahun 2012 sebagai positif selepas berakhir fasa pertama prakarsa transformasi yang melibatkan kerajaan, ekonomi dan politik, Perdana Menteri berkata angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa telah meningkat secara yang membanggakan.

Najib berkata ia terbukti melalui laporan Bank Dunia, "Doing Business 2013" meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di dunia manakala laporan "World Competitiveness Yearbook 2012" telah menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.

Beliau berkata di sebalik semua yang berlaku, kerajaan tetap perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada pengalaman lalu dalam menangani cabaran yang bakal mendatang tahun depan dengan meneruskan dan menambah baik apa yang terbukti baik dan terbukti berjaya serta setiap kegagalan ditamatkan dan dijadikan teladan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan empat asas daripada Dasar Transformasi Nasional yang perlu diteruskan, ditingkatkan dan dipastikan dalam memastikan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi tercapai.

Pertama, katanya, perlu meneruskan agenda nasional bagi mengukuhkan perpaduan kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan negara dengan berpandukan falsafah 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Kedua, usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan sistem jaringan keselamatan sosial akan diteruskan di mana bantuan kebajikan dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga, korporat dan keagamaan di mana setiap rakyat yang memerlukan bantuan akan memperolehnya," katanya.

Ketiga, katanya meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian seseorang individu tidak hanya dihadkan oleh daya imaginasi.

Beliau berkata sebaliknya daya keusahawanan dan sejauh mana kesanggupanindividu berkenaan untuk bekerja keras dengan gabungan kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan mendatangkan laba yang lumayan.

Najib berkata asas keempat yang perlu diteruskan dan ditingkatkan adalah memastikan Malaysia menjadi tempat terbaik untuk membina kehidupan berkeluarga dengan segala aspek dan keperluan hidup seperti keselamatan, kejiranan, kesihatan dan pendidikan dipenuhi sebaiknya. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment