Pages

Friday, 18 January 2013

MBM: 'Kontroversi Bawani-Sharifah hanya isu komunikasi'


Kontroversi hangat di laman sosial yang digelar 'fenomena listen', membabitkan pelajar Jurusan Undang-undang, Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani dan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin hanya isu komunikasi.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, kontroversi berkenaan adalah masalah komunikasi antara dua individu terbabit.

Beliau berkata, kejadian sedemikian dapat dielakkan sekiranya individu terbabit mengamalkan sikap profesional dan saling menghormati tanpa dipengaruhi emosi semata-mata.

"Dalam forum itu, Bawani sebagai peserta berhak mengemukakan soalan kepada panelis, namun dia perlu menghormati majlis dengan mengemukakan soalan atau pandangan yang wajar.

"Keadaan buruk dapat dielakkan sekiranya sesuatu pandangan itu disalurkan secara tuntas, matang dan beradab tanpa berniat untuk mencabar mana-mana pihak," katanya kepada Sinar Harian.

Mohamed Maliki berkata, sebagai panelis yang dijemput khas, Sharifah Zohra pula perlu bijak, tenang dan profesional serta menunjukkan kematangan dalam menghadapi situasi demikian.

"Dia perlu mengawal perasaan sebaik mungkin dan perlu elak daripada keluarkan pernyataan berbentuk emosi dan berbau sindiran. Ini kerana 'kata-kata adalah pancaran pemikiran' seseorang," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Maliki berkata, pengguna media sosial juga perlu matang dalam mengulas isu berkenaan. Manakala penganjur program perlu memberi penjelasan tentang keadaan sebenar.

"Apa yang kita lihat dalam video yang tersebar di internet itu tidak menggambarkan keseluruhan perjalanan forum berkenaan. Justeru, pihak penganjur perlu beri penjelasan keadaan sebenar," katanya.

Klip video selama 24 minit yang dimuatkan di Youtube itu tersebar luas di laman sosial, memaparkan Sharifah Zohra sebagai panel forum lantang menegur Bawani, yang bangun bercakap di dalam forum berkenaan.

Sumber

No comments:

Post a Comment