Pages

Thursday, 27 December 2012

Imran Ajmain Kekalkan Genre Balada Kerana Lenggok Kemelayuan



Penyanyi dan komposer Imran Ajmain berkata kekuatan lenggok suara kemelayuan yang dimilikinya menjadi faktor utama dia mengekalkan lagu balada sebagai pertaruhan terbaharu.

Pemilik nama penuh Ahmad Imran Ajmain, 31, ini berkata, kelebihan itu membuatkan dia berasa selesa untuk terus menghasilkan genre itu pada album ketiganya yang bakal dipasarkan pada Mac 2013.

"Saya selesa menyanyikan lagu genre balada. Julat vokal saya pada tahap sederhana dan tidak boleh tarik tinggi-tinggi seperti sesetengah penyanyi.

"Kebetulan pula, saya mempunyai lenggok Melayu yang baik. Untuk kekalkan lenggok itu, balada adalah caranya," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi berasal dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu dan muzik video terbaharunya berjudul Di Kalung Kasihan di RedBox The Gardens, di sini, petang Rabu.

Bagaimanapun, Imran berkata, sentuhan balada pada album ketiganya nanti adalah berbeza dan lebih matang.

"Kalau menerusi album pertama, muzik saya dipengaruhi hip hop dan R&B manakala album kedua, saya bereksperimen dengan elemen lagu-lagu lama.

"Bagi album ketiga nanti, ia akan sepenuhnya mengikut haluan genre balada yang matang dan berbeza," katanya yang sudah merakamkan empat daripada lapan lagu untuk album ketiganya.

Imran berkata, lagu-lagu balada seperti Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang sebelum ini diterima ramai kerana formula khas yang diamalkannya dalam mencipta lagu.

"Dari dulu saya berpegang kepada tiga rahsia dalam menghasilkan lagu yang berkesan."Melodinya mesti mudah diingati, tempoh satu minit sebelum korus harus menarik perhatian dan kekerapan menyanyikannya sehingga ia melekat dalam fikiran," katanya.

Muzik video arahannya bersama pengarah muda Nasrullah Napi itu dirakamkan di Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah dan Genting Highlands, Pahang selama tiga minggu.

Ia diterbitkan syarikat produksi Fipro dan diedarkan Life Records.

Sumber

No comments:

Post a Comment