Pages

Sunday, 9 December 2012

HOT: Cat Farish Jadi Penceramah Motivasi



Penyanyi dan komposer Cat Farish akan memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah menerusi Kem Motivasi Pemantapan Jati diri Cara Rasulullahs.a.w (Kem Mojat).

Cat yang juga merupakan ahli kumpulan The Fabulous Cats itu berkata, dia merupakan duta kepada kem tersebut dan ini sekaligus dapat memberi peluang kepadanya untuk berkongsi pengalaman manis dan pahit hidup kepada peserta.

"Kem Mojat mengajar para peserta cara-cara melakukan aktiviti yang sering dibuat oleh Rasulullah S.A.W dengan penyampaian yang lebih urban.

"Dengan peluang ini, saya ingin berkongsi pengalaman kepada mereka yang menyertai.

"Lagipun ketika di zaman sekolah dahulu, saya tidak mampu untuk sertai kem seperti ini dan peluang ini saya gunakan dengan membawa anak-anak ke Kem Mojat bersama," katanya.

Tambah Cat, lebih menarik lagi, Kem Mojat turut membawa peserta beriadah dengan melakukan aktiviti memanah serta berkuda, di mana ia merupakan antara aktiviti sukan kegemarannya.

Kem Mojat yang bakal diadakan pada 19 hingga 20 Disember 2012 di Kelab Rekreasi dan Berkuda Denai Alam Selangor (DARC), Shah Alam, Selangor ini dianjurkan oleh sebuah syarikat penyedia latihan dan pengurusan majlis berkonsepkan Islamik, Human Capital Development Services (HCDS).

Menurut pengarahnya, Shaharul Ridzuan Shamsuddin, Kem Mojat adalah sebuah program untuk pelajar sekolah sebagai program penutup atau pun persediaan sebelum sesi sekolah yang baru bermula tahun hadapan.

“Program ini akan menjanjikan kelainan daripada program cuti sekolah yang ada kerana ia lebih menumpukan kepada pemerkasaan jati diri dan penambabaikan sahsiah keperibadian seseorang pelajar.

"Aktiviti yang dianjurkan juga akan memfokuskan kepada tiga perkara utama sunnah Rasullah iaitu berkuda, memanah dan berenang selain mendedahkan rahsia, manfaat dan kebaikan aktiviti yang dibuat dalam membentuk keperibadian insan cemerlang," ujarnya.

Kem tersebut akan diketuai oleh seorang penceramah agama bertauliah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Che Nordin Che Ibrahim, yang berpengalaman mengendalikan pelbagai program Islamik untuk pelbagai golongan.

Beliau yang juga graduan Universiti Islam Al Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab ini juga merupakan seorang penceramah motivasi Islamik serta penasihat agama untuk beberapa syarikat swasta.

Melalui program ini, Che Nordin akan mengupas rahsia setiap aktiviti sunnah Rasulullah ini selain peserta berpeluang mencuba sendiri setiap aktiviti tersebut.

Di samping itu, beberapa slot kerohanian juga akan diselitkan agar dapat menjadi pemangkin semangat serta sebagai motivasi untuk setiap peserta.

Dalam pada itu, Kem Mojat juga berhasrat untuk mencari penaja daripada mana-mana individu, jabatan, agensi atau organisasi yang berminat untuk membuat amal jariah untuk peserta dari beberapa rumah anak yatim

Bayaran untuk mengikuti program ini adalah sebanyak RM290 seorang dan pendaftaran awal iaitu sebelum 12 Disember 2012 akan mendapat potongan harga kepada RM260 seorang.

Sementara itu, kepada ibu bapa yang berminat mendaftarkan anak mereka bolehlah menghubungi pihak urusetia program ditalian 010-3240051, 010-3234739, 010-3441011, 019-3475070 atau email ke my.hcds@gmail.com.

No comments:

Post a Comment