Pages

Sunday, 30 December 2012

Generasi muda disaran semarak seni boria



GENERASI muda disaran menyemarak seni boria agar warisan hiburan rakyat itu terus maju serta kekal relevan sepanjang zaman, kata Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Tarmizi Hashim.

Beliau berkata, dengan adanya suntikan idea baru dari golongan itu, boria berupaya menjadi medium menyatukan masyarakat dan membantu kerajaan menyampaikan maklumat dengan berkesan kepada rakyat.

"Menerusi sketsa dan bait lagu dalam persembahan boria, penonton mudah memahami mesej yang ingin disampaikan.

"Ia bukan sekadar hiburan kosong tetapi di dalamnya terkandung pengajaran berguna untuk kita hayati dan manfaatkan dalam kehidupan," katanya ketika berucap pada Festival Boria Kasih Sayang peringkat negeri di Georgetown, malam tadi.

Tarmizi berharap program seumpama itu diadakan dengan lebih kerap di samping mutu persembahan dipertingkat bagi menyemarak kesenian boria dan menarik orang ramai untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung pada warisan negara itu.

Temasya anjuran Jabatan Kebudayan dan Kesenian negara Pulau Pinang, Jabatan Penerangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) itu menyaksikan 10 kumpulan boria berentap dalam pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai hampir RM12,000.

Sementara itu, kumpulan Angkatan Budayasari Pulau Pinang (ABPP) dinobat sebagai johan keseluruhan dan membawa pulang wang tunai RM4,000, trofi dan sijil penghargaan.

Boria mempunyai dua segmen pengisian iaitu sketsa serta nyanyian berunsur humor dan mengandungi mesej nasihat.

Seorang 'tukang karang' akan mengetuai boria dan biasanya individu berkenaan akan memegang tongkat sambil menyanyi dan menari sepanjang persembahan berlangsung. - Bernama

No comments:

Post a Comment