Pages

Monday, 31 December 2012

Abu Hassan: 'Beri peluang orang muda bangunkan negara'



SUDAH lama mahu merisik khabar beliau yang pernah menabur khidmat sebagai menteri kabinet serta menteri besar sekitar tahun 90-an. Apatah lagi ingin mengetahui perkembangan terbaru beliau yang suatu ketika dulu pernah berdepan krisis kontroversi membabitkan bidang kuasa yang diceburinya. Ternyata hajat bertemu dengannya kesampaian apabila beliau menyatakan persetujuan untuk ditemu bual.

Biarpun janji temu terlewat hampir setengah jam, namun beliau masih sudi untuk sesi temu bual bersama majalah Seri Dewi & Keluarga. Sebaik kaki melangkah masuk ke ruang pejabatnya yang terletak di Seksyen 9 Shah Alam, kelihatan susuk tubuh seseorang yang kelihatannya masih sihat dan kuat.

Sebaik tangan bersambut, mantan menteri serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar, 72 tahun, terus rancak bercerita mengenai sisi terbarunya setelah hampir 41 tahun menimba pengalaman bekerja dalam perkhidmatan awam dan kerajaan.

“Hampir empat dekad saya mengabdikan diri bekerja dan kini masa yang sesuai untuk saya berehat. Walau bagaimanapun saya cuma berehat daripada menjawat jawatan penting dalam kerajaan tetapi masih lagi aktif dalam beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Saya senang dengan apa yang dilakukan hari ini dan ada tiga perkara yang dititikberatkan setelah bersara sekitar tahun 2000 lalu.

“Antaranya saya kini aktif dalam NGO dengan menjadi pengerusi serta presiden beberapa persatuan seperti Majlis Bekas Rakyat (Mubarak) Negeri Selangor, Yayasan Kesihatan Mental, Derma Alam Shah Committe, Pengerusi Majlis Permuafakatan Parlimen Kuala Selangor dan juga Setiausaha Kumpulan Bekas Menteri (GEM).

"Melalui pembabitan dalam NGO ini juga merupakan salah satu usaha dalam membantu rakyat melalui cara berlainan. Misalnya pembabitan dalam Mubarak yang ada sedikit sebanyak turut membantu parti yang dipimpin kerajaan sekarang,” ungkapnya memulakan perbualan tengah hari itu.

Tan Sri Abu Hassan memulakan kerjaya sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah (1963) sebaik tamat pengajian dalam jurusan Geografi dari Universiti of Hull, United Kingdom. Pernah memegang jawatan penting dalam kabinet seperti Menteri Kebajikan (1984-1986), Menteri Wilayah Persekutuan (1986-1987), Menteri Luar (1987-1991), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1991-1997) dan juga Menteri Besar Selangor dari tahun 1997-2000.

Berpeluang penuhi undangan keluarga

Selain pembabitan dalam NGO, dua perkara lain yang dititikberatkan oleh beliau adalah soal kesihatan dan juga merapatkan silaturahim bersama ahli keluarga.

“Dalam usia saya yang sudah mencecah 72 tahun, menjaga kesihatan amatlah perlu bagi memastikan kecergasan dan kesihatan tubuh badan. Oleh itu saya mengambil pendekatan dengan bermain golf. Biasanya dua kali seminggu saya akan luangkan masa bermain bersama teman-teman. Malah untuk memastikan diri sentiasa sihat dan cergas, saya juga turut menjaga pemakanan serta mengambil makanan tambahan.

“Apabila masing-masing bertemu, kami akan berkongsi cerita apa sahaja dan ini membuatkan saya seronok melalui pengalaman ini. Kalau dulu waktu untuk bermain golf amat terhad kerana masa yang ada diperuntukkan untuk kebajikan rakyat. Satu lagi amalan setelah bersara ini adalah meluangkan masa bersama ahli keluarga serta merapatkan silaturahim dengan sanak saudara serta sahabat handai,” jelasnya lagi.

“Saya kini mempunyai lebih tumpuan kepada keluarga. Kalau dulu memang sukar untuk memenuhi jemputan majlis kahwin, doa selamat atau majlis keluarga lain, tetapi kini saya akan cuba beri keutamaan.

"Kalau ada jemputan, saya cuba penuhi memandangkan suatu ketika dulu sukar berbuat demikian. Apa yang dilakukan kini adalah seperti untuk membalas balik masa bersama keluarga yang hilang dulu.

“Keluarga memahami kesibukan saya dulu dan kini tiba masa untuk membalasnya. Bukan sahaja ahli keluarga atau sanak saudara, malah jika ada jemputan daripada kawan-kawan, akan saya cuba penuhi.

Saya cukup berpuas hati dapat memenuhi setiap undangan yang diberikan,” ceritanya yang masih segak dan nampak sihat biarpun sudah melewati usia lebih setengah abad. Berbanding dulu, kini mantan Menteri Besar Selangor ke-12 ini juga turut mengisi masa senggangnya dengan menonton rancangan kegemaran di televisyen.

Gemar tonton rancangan kegemaran

“Aktiviti paling seronok saya boleh buat selepas bersara ini adalah apabila berpeluang menonton rancangan kegemaran seperti sukan dan filem di kaca TV. Malah setiap jam 10 malam, saya tertunggu-tunggu filem menarik yang disiarkan di rancangan HBO, Fox Movie, Cinemax ataupun melihat cd menonton filem-filem P. Ramlee atau “ Mind Your Language”.

Biasanya Puan Sri akan menemani saya menonton rancangan kegemaran ini.

“Saya lebih gemar menonton di kaca TV kerana bersifat lebih santai dan relaks. Suatu ketika dulu agar sukar untuk berbuat demikian dan apabila berpeluang melakukannya saya rasa begitu bahagia sekali.

Begitu juga ketika saya keluar ke pasar raya tanpa adanya pengawal peribadi ataupun menjadi tumpuan ramai. Setelah bersara, inilah kebebasan yang ditunggu-tunggu selama ini.

“Walau bagaimanapun saya masih lagi menerima layanan daripada masyarakat seperti dulu. Misalnya jika menghadiri majlis, ada juga yang datang bersalaman serta bertanya khabar. Mereka ini masih ingat apa yang saya lakukan, jasa serta bakti yang telah dicurahkan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas apa yang dibuat,” tambah anak jati Kuala Selangor ini yang mengakui agak janggal pertama kali menghadapi situasi selepas bersara. Namun lama-kelamaan beliau sudah boleh membiasakan diri dan seronok dengan apa yang dialami sekarang.

“Alhamdulillah saya memang sangat ‘enjoy’ dengan apa yang dilakukan sekarang. Cukuplah 41 tahun menabur bakti dan kini saya membantu parti dengan cara berbeza. Ada orang bersara menghabiskan masa sepenuhnya di rumah, tetapi saya masih meneruskan agenda (membantu parti, negara & rakyat) secara sukarela dengan pendekatan berbeza.

“Oleh sebab faktor usia tidak memungkinkan saya untuk kembali berkhidmat. Bagi saya biarlah kita memberi peluang pada orang muda yang lebih banyak idea kreatif dalam membangunkan negara. Namun saya tidak akan kedekut untuk berkongsi ilmu dengan anak muda sepanjang pengalaman bekerja,” jelasnya sambil tersenyum sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment