Derek Fernandez nafikan beliau buat kenyataan mengibaratkan penjawat awam sebagai monyet. Teman ghase si Derek ni macam ular. Suka membelit. Dia dah tersilap belit, jadi macam Nurul Izzah. Teman boleh jadi terbelit gak..
SHAH ALAM – Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Derek Fernandez menafikan beliau ada membuat kenyataan mengibaratkan penjawat awam sebagai "monyet" dan sedia memberi penjelasan kepada Cuepacs berhubung perkara tersebut.
Fernandez berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang memfitnah dan memutar belit kenyataannya.
“Saya sedia berjumpa dengan Cuepacs untuk menjelaskan pekara ini.
“Jika kenyataan saya atau maksudnya disalahertikan, dipusing dan akibatnya menyinggung sesiapa sahaja, saya minta maaf tetapi saya langsung tidak bermaksud demikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan Fernandes didakwa membuat kenyataan yang mengibaratkan penjawat awam sebagai "monyet" sebagai mengulas isu pemindahan Datuk Bandar Petaling Jaya baru-baru ini.
Berikutan itu, Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs kesal dan memandang serius kenyataan itu dan mahu ahli MBPJ itu membetulkan kenyataan itu dalam masa terdekat kerana telah menghina dan menjejaskan imej perkhidmatan awam keseluruhannya.
"Kalau betul apa yang disebut oleh saudara (Derek Fernandez)... kita mahu beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penjawat awam dan dia juga kena buat pembetulan ayat itu.
"Kalau dia tidak minta maaf maka Cuepacs akan memanggil satu mesyuarat tergempar dan kita akan buat piket di hadapan bangunan di mana beliau bertugas... kita kesal kerana belum pernah berlaku seorang ahli majlis menyebut penjawat awam sebagai monyet," katanya.
Fernandez berkata, beliau langsung tidak pernah menyatakan perkara itu seperti yang didakwa oleh Cuepacs.
“Ini kenyataan salah. Sebaliknya, saya mempertahankan hak seorang pegawai kerajaan, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang diberi notis pindah 24 jam tanpa alasan munasabah dan tanpa kenaikan jawatan.
“Ini memberi gambaran tidak baik terhadap beliau (Roslan) seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan. Saya harap Cuepacs juga akan mengambil kes Datuk Bandar sebagai satu iktibar dan terus mempertahankan hak dan maruah pegawai dan kakitangan kerajaan,” katanya.
Tambah Fernandes, sekiranya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin memindahkan Datuk Bandar, jabatan itu harus mendapat persetujuaan daripada kerajaan negeri.
Katanya, orang yang dipilih sebagai Datuk Bandar mestilah jujur, ikhlas dan berkebolehan menjalankan tugas memandangkan Petaling Jaya merupakan sebuah bandar raya yang dinamik, progesif dan mencabar.
“Kita tidak mahu seorang yang tidak jujur, tidak amanah dan yang tidak boleh memimpin.
“Saya telah berkali-kali mempertahkan hak pegawai kerajaan daripada salah pecat jawatan dan salah tuduh. Contohnya ialah kes rumah kos rendah di mana pegawai kerajaan MBPJ di salah tuduh membeli rumah kos rendah,” jelasnya lagi.
Teman Kutip di Sinar Harian